Thursday, November 20, 2014

Akhiri November ini.

Lama. Terlalu lama.

Akhirnya, hidup kembali. Semalam yang dinamakan April, hari ini yang dinamakan November. Pintasan satu cerita yang sedikit panjang, namun indah akhirnya. Waktu telah bersama dengan perasaan. Kini, ia memang sudah lama, dan terlalu lama.



Dan aku kembali, untuk bercerita semula benda yang aku lihat dan lalui hari-hari. Sebab setiap hari penuh dengan cerita. Tahukah kamu setiap cerita itu juga anugerah Allah yang paling indah untuk kita semua?

Cerita aku. Cerita dia. Cerita istimewa. Sungguh puitis ingin kembali.

Photograph & Written by
Budak Pensel . November 20, 2014 .

Tuesday, April 29, 2014

Berikan Kami Cahaya



Bila aku sedar tentang masa yang berlalu dengan pantas. Tetang masa yang semakin pantas berlalu meninggalkan cerita aku. Aku yang selama ini aku gelarkan diri aku sebagai penulis blog BudakPensel, nama yang aku cipta sendiri, dengan tujuan yang tersendiri.

Aku tahu, tulisan ini adalah sebahagian dari semua cerita. Sebuah cerita sepanjang masa dan umur aku, permulaan untuk segala-galanya bermula 7 tahun yang lepas. Kalau aku tinggalkan tulisan, aku harap ada orang akan setia untuk menjiwai perasaan dalam setiap post ini.

Tanpa aku sedar sejak aku sibuk mengejar cita-cita, blog yang sentiasa menjadi peneman hidup aku ini semakin lama semakin sunyi. Kalau dahulunya aku selalu tinggalkan sedikit tulisan sebagai pengganti diri, kini ia tak seperti dulu. Pengganti diri ini, ibarat tiada nyawa. Makin lama orang pun tak tau dimana penulis asalnya pergi.

Kamu lihatlah sendiri, kalau dulu setiap bulan aku akan post sebanyak sepuluh kali. Dan ini mungkin adalah post pertama untuk bulan April yang akan berakhir beberapa hari lagi, jauh sekali untuk aku mengejar lagi sembilan post seperti kebiasaan yang aku selalu lakukan.

Namun, apa yang penting kini hanyalah tulisan yang penuh tulus ikhlas, walaupun hanya ia jarang tertulis.




Aku jadi terhenti seketika, walaupun aku tahu perjalanan itu masih panjang. Seharusnya aku terus hidup bersama tulisan ini. Percayalah tulisan ini sangat bermakna walaupun aku semakin jauh dengan blog ini. Sebab tujuan aku terhadap blog ini masih kekal selagi ia tidak terpadam.

Dalam penantian masa, ingatlah bagaimana kita mulakan. Memang susah dan getirnya hidup, sikap aku masih setia walaupun masa sering bersilih ganti, mencabar berapa lama hati aku akan terus teguh dengan apa yang telah aku mulakan.

Sikap aku sama, tidak memilih dan apa yang aku terima kerana itu adalah perkara yang aku harus simpan walaupun hancur mana pun jiwa aku buat kali terakhir ia teruji. Ia adalah harga yang harus aku bayar kerana aku tahu walaupun kecil manapun anugerah, ia sangat istimewa walaupun pada insan lain ia tidak lebih dari itu.  


Tuhan, berikan kami kekuatan. Kami teruji dengan dugaan-Mu namun kami tak pernah pilih jalan penyelesaiannya. Tuhan, berikan kami cahaya. Sebab dalam kelam malam kesukaran hidup ini kami tak pernah nampak arah yang mana kami harus pilih.

Tuhan berikan kami petunjuk. Agar kami terus berjalan, mengenggam tali agama-Mu yang lurus, dan Engkau bantulah kami supaya kami mampu pulang ke jalan-Mu yang benar. Pilihlah kami, sebagai hamba-Mu yang akan Engkau bukakan hati yang telah lama kami padam.

Kerana Engkau Maha Pengampun, Maha Mengetahui luka dan duka di hati kami. Ampunkanlah kekhilafan kami sejak kami pinjam dunia ini supaya taat kepada-Mu. Sesungguhnya Engkau yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Amin.

Kerana aku tahu, kekuatan itu, ketabahan itu, ketenangan itu dan keamanan itu aku perlu pulang ke tempat di mana segalanya bermula. InsyaAllah.

Photograph & Written by
Budak Pensel . April 29, 2014 .

Friday, March 7, 2014

Jangan Lupakan Yang Lepas .



Banyak perkara bermula daripada yang lepas. Sesuatu yang mengajar kita berdiri dengan lebih matang, menjadikan kita seperti kita pada hari ini. Sesuatu yang telah menjadi segala-galanya, jangan buang ia tatkala kita rasa kita sudah miliki yang lebih baik.

Yang lepas mempunyai seribu makna, bertahun kita hidup bersamanya. Masa depan adalah tidak pasti, kerana yang lepas telah membuktikan masa depan itu adalah impian pada hari ini. Usah ragu perkara yang sudah lepas, sebab ia telah membuktikan segala-galanya sepanjang masa kita berkenalan dengannya.

Hargai apa yang kita miliki pada hari ini. Usah terlalu impikan sesuatu, kerana sesuatu itu ibarat mimpi, yang kita miliki bukti ianya sangat realiti.

Jangan lupakan yang lepas. Yang bermaksud segala-galanya.

Wednesday, January 15, 2014

Boleh Jadi Yang Kadang-Kadang Bertukar Selalu-Selalu.


Satu, Dua, Tiga ! Okay, Update 10 minit.

Hari-hari aku terfikir. 

Perlaksanaan lebih baik daripada sekadar berkata-kata. Kamu faham tak bila kamu nak makan, lebih baik kamu pergi makan daripada kamu sebut kamu lapar, lapar dan sangar lapar. Perlaksanaan hanya perlu tiga minit, manakala berkata-kata memerlukan lebih dari tiga puluh minit. 

Hari-hari aku terfikir.

Ada orang murah rezeki. Namun tanyalah dia, apa yang beliau sentiasa lakukan sehingga rezeki beliau tersangatlah murah. Bersangka baik, kerana orang yang murah rezeki ini hanya melakukan kerja-kerja asas ataupun dalam bahasa orang putihnya 'basic'. Tolong ibu-bapa dan rajin bersedekah. Bersedekah ini tak semestinya memberi duit, tetapi ilmu. Yang paling manusia aku benci atas dunia ni bila dia mendapat ilmu yang kita beri, tapi mereka tak pernah nak sebarkan ilmu itu. Senang cerita 'makan sorang'.

Tapi aku tak pernah rugi pun, sebab satu aku beri, seratus aku dapat. Sembilan puluh sembilan lagi aku simpan.

Kadang-kadang aku suka bercakap sesuatu yang sangat mengarut. Kadang-kadang aku suka bertanya soalan yang agak bodoh. Kadang-kadang aku akan bercerita macam seorang yang kurang matang.

Terutamanya sekali bila aku bertanya. Tapi tiada sorang pun tanya aku balik kenapa aku beri soalan yang boleh dikira bangang dan looser macam tu.

Sebab pada masa tu, aku cuma nak tahu bila aku memberi soalan bodoh, adakah orang itu menunjukkan beliau adalah seorang yang bijak, pandai kawal situasi dengan tidak mengikut emosi ataupun dia lebih bangang daripada soalan tu. Ala, nak perangkap orang bukan susah pun.

Terlalu mudah untuk menghukum, selalu akan terjerat dengan fakta-fakta bodoh. Kau buat dia marah, mesti apa yang dia cakap selepas itu sudah menjadi tak berapa nak betul. Serius.

Ia terjadi kadang-kadang, tapi cuma ada beberapa orang yang tidak mengecewakan. Mereka biasanya menjawab sangat memakan masa. Sangat professional. Orang macam ni layak jadi pemimpin yang tak mudah membuat keputusan.

Habis tu kamu ingat senang ke nak pilih kawan?

Update 10 minit sangat bagus untuk blog 2014. Terima kasih kerana membaca.

Saturday, January 11, 2014

Kemaskini 2014

Pertama sekali ingin aku beritahu, semenjak aku memulakan blog ini aku lebih memfokuskan pendapat aku sendiri secara peribadi tentang perkara-perkara yang sentiasa berlaku di sekeliling aku. Ia lebih baik daripada aku menulis satu artikel panjang di dalam laman sosial seperti Facebook.


Banyak benda. Bagi aku ia ibarat satu diari yang aku perlu update setiap masa. Dalam masa setahun, aku berjaya merekodkan perkara yang penting yang aku mampu kongsikan kepada ramai orang, terutamanya semasa aku mengajar di UPSI untuk satu semester.

Ia sangat penting, lebih-lebih lagi ia adalah rekod secara online. Apa yang menarik menjadi penulis blog ini adalah bagaimana kita belajar menggunakan perkataan bahasa Melayu dengan betul kerana sebahagian pembaca blog akan menggunakan Language Translator untuk menukarkan semua perkataan kepada bahasa yang mereka fahami.

Tahukah kamu, apabila kamu menulis blog kamu telah menyumbangkan informasi yang berguna di dalam enjin carian untuk penduduk serata dunia, berbanding kamu menulis satu informasi berguna di laman sosial.

Masa aku menulis blog ini, benda paling penting adalah mencari ayat yang mudah untuk orang fahami, serta pendapat daripada fakta serta pengalaman melihat pada persekitaran. Itu sangat bagus, walaupun kadang-kadang fakta itu tak berapa kuat untuk sokong pendapat penulis. Ilmu berguna memang sepatutnya kita perlu kongsi, tapi lagi bagus jika ia mudah dicari melalui enjin carian seperti Google.

Untuk 2014, aku rasa aku perlu banyak bercerita tentang sesuatu yang kurang masuk akal. Mungkinkah? Hahaha.

BudakPensel. 
Rawang. Januari 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...