Esok, bermulalah Ramadhan. Mungkin Ramadhan kali ini lebih bermakna. Ramadhan bulan keberkatan, bulan beribadat, bulan yang paling istimewa dalam kalendar umat Islam. Bulan dibukakan pintu syurga seluas-luasnya.
Bagi aku, Ramadhan sesuatu yang sangat aku nantikan. Bulan yang malamnya terasa sangat sunyi. Berbeza dengan malam-malam biasa. Seolah-olah malaikat sedang ternanti-nantikan ibadat setiap hamba Allah, lalu mencatitnya sebagai satu amal ibadat yang berlipat kali ganda pahalanya berbanding dengan pahala ibadat pada bulan-bulan yang lainnya.
Erti Ramadhan, iaitu panas terik lagi membakar. Dalam sejarah hari pertama bulan Ramadhan itu kebanyakannya berlaku panas terik. Namun adakalanya hari pertama itu hujan turun, bahangnya pasti terasa. Sesuai dengan sifat nama Ramadhan itu sendiri yang panas terik lagi membakar.
Ramadhan selalunya menjanjikan perkara yang sangat istimewa kepada hambanya. Siangnya masa untuk bekerja untuk dunia, dan malamnya dipenuhkan segala amalan dengan ibadat kepada Allah SWT. Maka, rugilah kepada hamba-hambanya yang menjadikan bulan tersebut seumpama bulan-bulan yang biasa, kerana kebanyakan orang-orang yang beriman kepada Allah amat menanti-nantikan bulan tersebut sama ada masih berpeluang merasainya lagi atau tidak.
Paling teristimewanya bulan Ramadhan itu tentunya Malam Lailatulqadar. Iaitu malam dimana doa-doa hambanya terus diangkat ke langit. Malam Lailatulqadar sering dikaitkan dengan pokok yang sujud ke bumi. Mungkin kamu akan rasa betapa bertuahnya kalau dapat melihat perkara tersebut.
Pada malam tersebut, kamu akan lihat langit dibuka seluas-luasnya, dan kamu akan rasa bahawa langit itu memang sudah tiada penghujung. Malam itu tiada desiran angin, tiada bunyi-bunyian cengkerik, seolah-olah semua binatang dan serangga sedang beribadat kepada Maha Esa. Dan pada masa itulah, kamu akan melihat pokok yang tinggi akan berada pada paras serendah rendahnya, hingga menyembah bumi. Satu pengalaman yang buat kamu rasa hampir mengalirkan air mata. Rujuk link.
Aku berharap, jadikan Ramadhan kali ini Ramadhan terakhir dalam hidup kamu yang paling istimewa dalam hidup. Disini aku ingin meminta maaf atas segala kekurangan diri ini dan aku akan sentiasa mendoakan kamu semoga Ramadhan kali ini memberi erti untuk selama-lamanya. InsyaAllah.