Sunday, April 18, 2010

Realiti Sebuah Nombor

Permulaan segala perkara ialah nombor kosong. Selepas itu barulah wujud nombor satu. Nombor satu nombor yang kekal lama, sangat istimewa. Kemudian muncul pula nombor dua. Nombor dua disebaliknya, tak kekal lama sudah pula bertukar kepada nombor tiga. Nombor tiga terpulang, kadang-kadang bertukar empat dan lima dan seterusnya.

Nombor satu sifatnya istimewa. Terciptanya nombor satu hasil dari nombor dua sebenarnya. Peliknya nombor dua tidak wujud selagi nombor satu belum ada.

ANDAINYA nombor lima nombor terakhir, nombor tersebut akan mula terhenti untuk sekian lama. Dan mula kembali dengan nombor empat, dan kemudian tiga. Akhirnya tinggallah nombor dua. Sama! Nombor dua tidaklah kekal lama, nombor dua akan hilang dan tinggalah nombor satu di akhir sekali.

Pelik bukan. Tapi itulah reliti nombor ciptaan Illahi.

Asalnya kita bermula tanpa roh dan jasad. Apabila Allah meletakkan roh dalam jasad kita, maka terciptalah kita sebagai nombor satu. Nombor satu itulah diri kita, yang memegang watak sebagai hamba Allah selama belasan tahun dan puluhan tahun.

Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Menghadiahkan pasangan hidup untuk kita tidak bersendirian selamanya. Hidup berdua, berpasangan seperti yang pernah dijanjikan-Nya iaitu manusia ini hidup berpasang-pasangan.

Allah yang Maha Kaya dan Maha Memberi. Setelah di takdirkan bertemu dan menjadi pasangan, dihadiahkan pula cahaya mata, agar hidup berpasangan itu tidak terasa sunyi. Diberikan lagi cahaya mata demi cahaya mata, untuk kita lebih bersyukur ke hadrat Illahi. Allah Maha Kaya, memberi rezeki tidak pernah putus, selagi hambanya masih bersyukur pada-Nya.

Setelah puluhan tahun, dan usia dewasa mula berada di penghujung cerita kita, anak-anak kita ini mula meninggalkan kita. Mereka juga mula mendirikan rumah tangga, seperti mana kita lalui dahulu, dan mula meninggalkan kita bagi menjalani kehidupan seterusnya.

Kita mula tua. Hidup berdua kembali bersama pasangan kita. Sepertimana sekiranya nombor lima akan kembali ke empat dan tiga. Tapi hidup berdua juga tidak kekal lama. Segala-galanya hanyalah anugerah. Anugerah adalah pinjaman semata-mata dan Allah Maha Berkuasa, mengambilnya dia dari kita, setelah lama kita merasakan segala kehidupan dan nikmat ciptaan-Nya.

Tinggallah kita sendirian, hidup tanpa teman, setelah berpuluh-puluh tahun menempuh hidup. Dan akhirnya tiba giliran kita untuk pergi buat selama-lamanya. Persemadian yang terakhir, hanya untuk keseorangan, kesunyian tanpa pasangan yang dicintai. Hanyalah berbekalkan amalan baik, sedekah dan doa anak-anak yang soleh.

Sebagaimana bumi berputar, begitu juga nombor. Ia juga akan kembali kepada permulaan. Tinggallah kita bersama bekalan untuk berada satu ruang yang agak sunyi. Sempit dan keseorangan.

Kamu, aku berpesan untuk diri aku juga, sayangilah diri kita, dan mereka yang masih dekat dengan kita. Lafaskan tiap perkataan itu, perkataan yang terbaik di sisi-Nya. Dan berselawatlah sentiasa. Bersedekahlah untuk bekalan kita suatu hari nanti.

Kisah nombor bagi aku. Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Al-Fatihah untuk semua hambamu disana.

3 comments:

Firol said...

nombor dalam kita...entri terbaik bro

Budak Pensel Yazid said...

thanks.. :)

Unknown said...

terpikat dgn entri ni..nombor....ade kisah tersendiri

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...